RSS Feeds

Tuesday 15 May 2012

15 May 1948 - 15 May 2012.. 64 years Nakba Day



Sunday 13 May 2012

Makan dan minum sebagai ibadat ?

Makan dan Minum sebagai ibadat? by Cikgu Rosman

 
Kasih dan cinta Allah s.w.t. kepada kita semua sebagai hambaNya dan umat nabi Muhammad s.a.w., diberikan begitu banyak kemudahan dan kelebihan untuk kita meraih pahala dan ganjaran Allah s.w.t.

Sedarkah kita, bahawa walaupun dengan hanya melakukan perkara-perkara rutin harian seperti makan dan minum, ianya sudah boleh dianggap kita sedang beribadat kepada Allah. Betulkah kenyataan ini?

Apakah yang membezakan antara makan sebagai adat atau kelaziman harian dengan makan sebagai beribadat kepada Allah?.

Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang akan menjadikan amalan rutin harian seperti makan dan minum dianggap sebagai ibadat. Pertamanya, kita hendaklah membetulkan niat kita terlebih dahulu. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang diingininya”.
(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)

Keduanya, hendaklah setiap aktiviti dan tingkah-laku kita, merujuk contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. . Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

"Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya".
(Surah Al Ahzab ayat : 21)

Begitu juga dalam Surah Ali ‘Imran ayat : 132, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat."

Sebenarnya, ada banyak panduan yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam hal makan dan minum. Antaranya ialah

“Apabila seseorang dari kamu memakan makanan maka hendaklah dia berkata : Bismillah, dan jika dia lupa membaca pada awalnya, hendaklah dia berkata : Bismillah fi Auwalihi wa Aakhirihi”.
(Hadith Riwayat Abu Daud, al-Tirmidzi).


Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w mengajar Umar bin Abi Salamah yang masih kecil dengan nada manja untuk mendidik :

“Wahai budak lelaki, bacalah bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis yang lain pula,

"Seorang lelaki makan di hadapan Rasulullah s.a.w. dan dia terlupa untuk menyebut nama Allah s.w.t. di awalnya. Lalu apabila tiba suapan yang terakhir, barulah dia menyebut ‘Bismillah awwalahu wa aakhirahu.
Maka Rasulullah s.a.w ketawa lalu berkata: “Sejak tadi, syaitan makan bersamanya, lalu apabila dia menyebut nama Allah, maka syaitan itu memuntahkan apa yang ada di dalam perutnya”. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Berdasarkan ketiga-tiga contoh saranan Rasulullah, jelas kepada kita bahawa, sebelum makan hendaklah kita membaca ‘Bismillah’ terlebih dahulu dan jika kita terlupa dan terus makan, ada juga bacaan yang Rasulullah ajarkan juga kepada kita setelah kita ingat.

Kita biasa mendengar dan melihat, ramai orang yang makan banyak tetapi masih rasa lapar dan tidak kenyang. Adakah kerana makanan tersebut dikongsi bersama syaitan?

Moga nota ringkas ini dapat dijadikan panduan dan pedoman kepada kita, anak-anak dan seluruh ahli keluarga kita. Yakinlah, dalam perkara-perkara sekecil makan dan minum pun kita masih boleh meraih pahala dan ganjaran ibadat yang dijanjikan oleh Allah kepada kita.

Dicopy dari Qaseh Qommunity





Tweet

Setiap hari adalah hari ibu .. ^_^


Thursday 12 April 2012

Hadis-hadis tentang Mahdi dari perspektif ASWJ (Prof Madya Dr. Mohd Radzi Bin Othman - USM)

Assalamu'alaikum..

Apa khabar sidang pembaca semua? Alhamdulillah kelmarin saya telah berkesempatan untuk join 1 diskusi ilmiah yang berkenaan hadis-hadis tentang Mahdi dari perspektif Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Perkongsian disampaikan oleh salah seorang tokoh dalam bidang hadith, Prof Madya Dr Radzi bin Othman.

Okay..sebelum mula, saya nak introduce dulu tentang Prof Madya Dr Radzi bin Othman. Setelah tamat pengajian sekolah menengah, Dr Radzi telah menyambung pengajian di Universiti Madinah, Arab Saudi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (DEGREE) HADITH. Seterusnya beliau telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana (MASTER) juga dalam bidang HADITH, dan seterusnya ke peringkat tertinggi, Ijazah Kedoktoran (PHD) juga dalam bidang HADITH. Ketiga-tiga peringkat pengajian telah dilakukan di Universiti Madinah, Arab Saudi.

Beliau merupakan pakar bidang hadis, dakwah dan usuluddin. Berusia 57 tahun, Prof Madya Dr. Mohd. Radzi pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang selama 11 tahun. Sejak 23 tahun lalu, beliau ialah ahli Majlis Fatwa Perlis selain menjadi penasihat syariah Bank Rakyat. Beliau juga menulis buku dalam bahasa Arab mengenai sejarah sahabat Nabi dan gerakan pembaharuan dalam Islam. Kini beliau telah 23 tahun berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Pengajian Islam di USM dan masih berkhidmat di situ.

Berikut saya kongsikan sedikit nota dan catatan dari salah seorang sahabat yang hadir ke diskusi tersebut.. 
 
TAJUK : HADIS-HADIS TENTANG MAHDI DARI PERSPEKTIF ASWJ
PENYAMPAI : DR. RADZI OTHMAN (USM)
TEMPAT : MEDIU

Bismillahirrahmanirrahim.

PENDAHULUAN
  1.  Perkara-perkara ghaib di luar kemampuan akal kita samada yang sudah berlaku atau belum berlaku.
  2. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".  [ Surah al-Isra’ ayat 85]
  3. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). [Surah al-Hasyr ayat 7]
  4. Pendirian ulama akidah ialah menerima seadanya. Begitu juga dengan perkara ghaib seperti Imam Mahdi yang berlaku sebagai tanda hampirnya kiamat.
  5. Beberapa maklumat tentang Imam Mahdi;
  • Berada di dunia pada 6-9 tahun.
  • Tiada sumber yang jelas tentang kelahirannya
  • Imam Mahdi ialah individu.
  • Dia dikenali sewaktu dia sedang tawaf di Masjidil Haram.
  1. Riwayat tentang Mahdi berada di sekitar seramai 25-26 orang sahabat, oleh sebab itu ia mutawatir maknawi. Namun hadis2 itu masih dalam kategori hadis ahad.
  2. Ulama-ulama yang telah mentakhrij hadis-hadis tentang Imam Mahdi seramai 38 orang.
  3. Tentang kesahihan riwayat, Imam Syaukani telah menjejaki sebanyak 50 hadith, di mana terdapat sebahagian daripadanya hadis-hadis yang sahih, sebahagian baki yang lain terdiri daripada hasan lizatiih, hasan lighairihi ( iaitu diangkat dari hadis dhaif yang khafif(ringan).
  4. Hadis yang sahih boleh dipakai sebagai dalil. Begitu juga dengan hasan lighairiih yang digunakan bersama hadis hasan lizatiih. Hadis dhaif yang khafif sebagai syawahid dan semua hadis itu saling menafsirkan antara satu sama lain.
10.  Tiada satu pun hadis yang sarih (jelas) di dalam Sahih Bukhari dan Muslim ( yang disebut kalimah Mahdi)
11.  Dalam hadis riwayat Abu Hurairah ( Sahih Bukhari dan Muslim) dan hadis riwayat Jabir bin Abdillah ( Sahih Muslim) yang mana kalimah Mahdi tidak disebut secara sarih (jelas).
12.  Kenapa Imam Bukhari dan Muslim tidak meriwayat hadis yang mempunyai lafaz al-Mahdi?
13.  Jawapannya Wallahua’lam, mungkin ia berkaitan dengan syarat yang dikehendaki oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim sendiri
  • Kita tahu syarat kedua2 Imam ini iaitu mesti adanya pertemuan antara perawi (al-Luqiyah) atau kemungkinan adanya pertemuan antara perawi (Imkaan al-Luqiyah).
14.  Sebahagian hadis yang sahih itu sudah mencukupi untuk dijadikan sebagai asas ambilan akidah walaupun ia tidak jelas.
15.  Ini kerana kita menerima ia seadanya dari hadis sahih, dari hadis hasan Lizaatiih dan hasan Lighairiih yang berfungsi sebagai penyokong hadis sahih.
16.  Namun ada juga hadis tentang Mahdi yang sangat dhaif, yang statusnya maudhu’ , yang tidak boleh dijadikan ambilan seperti hadis Mahdi al-Askari yang berasal dari riwayat2 Syiah.
17.  Terdapat ramai manusia yang digelar sebagai Mahdi seperti;
  • Khulafa Rasyidin yang Empat
  • Umar Abdul Aziz
  • Dan ramai lagi
18.  Dan alasan terdapat ramainya manusia yang digelar sebagai Mahdi tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak fikrah al-Mahdi.
Isi-Isi Penting.
  1. Hadis Abu Hurairah (dalam Sahih Bukhari dan Muslim)
  • Di dalamnya disebut kalimah « rajulun » yang mengimami solat Subuh.
  • Nama Muhammad bin Abdillah (daripada hadis-hadis yang lain di dalam Sunan) yang menjelaskana siapakah « rajulun » di dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim.
  1. Terdapat beberapa kitab yang menyebut tentang Hadis-hadis tentang Mahdi ;
  • Seperti Imam As-Suyuti di dalam kitabnya
  1.                     i.      Lihat di sini dan boleh download bukunya di sini.
  2.                     ii.      http://akidatuna.blogspot.com/2012/03/blog-post_17.html
  • Juga buku tulisan Abu Bakar Ibn Abi Haitsamah yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimah Ibnu Khaldunnya.
  • Juga dalam buku Hadis-Hadis tentang Mahdi oleh al-Hafiz Abu Naiem.
  • Al-Hafiz Ibnu Kathir telah menulis di dalam buku al-Fitan wa al-Malahim
  • Ibnu Hajar al-Makki di dalam bukunya al-Qawl al-Mukhtasar Fi 3alamah al-Mahdi al-Muntazhar
  • As-Safariini di dalam Lawami3 al-Anwar al-Bahiyyah
  • Mulla Ali Qari di dalam Sharh al-Misykah
  • Mulla Ali Qari di dalam al-Masyrab al-Ward Fi Mazhab al-Mahdi
  • Imam Syaukani di dalam bukunya at-Tawdiih Fi Tawatur al-Mahdi al-Muntazhar Wa Ad-Dajjal Wa al-Masiih.
  1.                      i.      Beliau menyatakan bahawa hadis tentang Mahdi ialah mutawatir maknawi
  2. Ibnu Khaldun agak mutaraddid ( ragu-ragu) dan tidak jelas ketegasannya.
  • Dan keraguan inilah yang menjadi punca bermula idea yang meragui fikrah Imam Mahdi
  • Fikri : Saya sudah mengajukan soalan ini kepada pembentang beberapa hari sebelum CAC, namun jawapannya amat mengecewakan dan ternyata jawapannya diperolehi ketika di MEDIU.
  1. Imam Suyuti telah menyebutkan hampir 200 hadis tentang al-Mahdi yang terdiri daripada hadis Sahih, Hasan, Dhaif dan Maudhu.
  2. Hadis Ummu Salamah(dlm buku tulisan Imam Suyuti)
  • عن أم سلمة قالت سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول المهدي من عترتي من ولد فاطمة . ( صحيح ) _ ابن ماجه 4086 
  1. Hadis Mahdi tidak tergugat langsung dengan hadis “La Mahdi Illa Isa”
  • Ini kerana di dalamnya terdapat perawi yang bernama Muhammad Ibn Khalid al-Janadi yang tidak diketahui (jahalah ar-ruwat)
  • Hadis ini tidak sahih dari segi sanadnya.
  • Imam Qurtubi di dalam kitabnya at-Tazkirah telah menyatakan bahawa La Mahdi Haqiqi Illa Isa,
  • Akan tetapi ulama telah mengatakan bahawa Al-Qurtubi telah membuat andaian sahaja.
SOALAN DAN JAWAPAN
  1. Hukum Tolak Fikrah al-Mahdi (Ismail Faruqi)
  • Jawapannya : Seperti hukum menolak hadis Sahih.
  1. Adakah Ia Usul? (Ismail Faruqi)
  • Jawapannya : Ia Usul, kerana tiada ruang untuk berijtihad.
  1. Dari mana datangnya kalimah al-Muntazhar (Nawawi)
  • Tiada asalnya
  • Bagaimanapun ia ditunggu2, maka wujudlah kalimah al-Muntazhar.
  1. Tambah Dr. : Hadis tentang Dajjal, Isa AS, Imam Mahdi Mutawatir Maknawi.
  2. Tambahan Dr : Kenapa Muktazilah tidak mencelah dalam perkara ini?
  • Jawapannya : Wallahua’lam
  1. Dalil Imam a-Mahdi membantu Isa? (Nawawi)
  • Ada di dalam Sunan Abu Daud (13 hadis)
  • Nawawi membantah kenyataan ini dan tidak menemuinya, bagaimanapun beliau mengakui di dalam kitab Imam As-Suyuti.
  • Respon Dr : Dr akan menelitinya kembali.
  1. Larangan Imam Ahmad terhadap hadis Mahdi. (Nawawi)
  • Jawapan : Ini kerana masalah ingatan Abdullah bin Ahmad (anak Imam Ahmad)
  • Oleh kerana itu ada hadis Ziyadat Abdillah yang maudhu’.
  1. Tentang Muhammad bin Abdillah Nafs Zakiyyah yang mengaku Mahdi dan terbunuh?
  • Jawapannya : Beliau salah seorang Mahdi juga, tetapi bukan Mahdi yang dimaksudkan pada akhir zaman.
  1. Bolehkah panggil gelaran al-Mahdi? (Nawawi)
  • Jawapannya : Boleh.
KESIMPULAN

Hadis yang Sahih tentang al-Mahdi kita tidak boleh tolak, adapun hadis yang dhaif dan maudhu’ tentang al-Mahdi boleh ditolak.
Fikri : Saya telah mengulas di dalam thread namun ia seperti mencurah air ke daun keladi.

أما الأحاديث الموضوعة في المهدي وغيره فإنه يجب التحذير منها وتنزيه رسول الله - صلى الله عليه وسلم - منها، وأما الأحاديث الضعيفة فإنها تذكر للاستشهاد لا للاعتماد، وأما الصحاح والحسان فإنه يجب قبولها والتسليم لمن جاءت عنه، وهو النبي - صلى الله عليه وسلم - قال الله -تعالى-: {فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا *}

Akhirnya Ustaz Fauzan menutup Kuliah dengan Kalam Imam Zuhri yang sangat baik,
Daripada Allah Ar-Risalah, dan Dari Rasul al-Balagh, dan ke atas Kita at-Taslim (menerimanya).

Fikri Az-Zahabi : Alhamdulillah, selesai perbincangan tentang al-Mahdi.

Telah teranglah yang benar itu seperti terangnya cahaya matahari di siang hari dan cahaya rembulan di malam hari, dan yang salah itu telah menjadi rapuh dan telanjang daripada kebenaran. Dan ilmu itu kembali kepada ahlinya.

Jika ada kesalahan atau kesilapan, mohon maklumkan. Dari Fikri, Hamba Allah yang berbayangkan kesilapan.

Nota dari : Fikri Az-Zahabi


Wednesday 11 April 2012

Wordless Wednesday #4


Sunday 8 April 2012

Sesungguhnya Allah itu sangat dekat


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah (sangat) dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia meminta kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran”
(Al-Baqarah : 186)






Saturday 7 April 2012

1 Hari 1 Hadis - Berjuang Menegakkan Agama Allah


عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ
 
Daripada Abu Musa al-Asy’ari, Nabi s.a.w. bersabda: “Siapa berjuang untuk menjadikan kalimah Allah sebagai kalimah yang tertinggi, maka ia berada di jalan Allah.”
(HR Bukhari & Muslim)



Wednesday 28 March 2012

Wordless Wednesday #3

Picture by :Langit Ilahi

Wednesday 21 March 2012

Wordless Wednesday #2


Saturday 17 March 2012

Revolusi Syria..Adakah kita prihatin?

Assalamu'alaikum..

Minggu lepas saya telah menerima 1 pesanan melalui Khidmat Sistem Pesanan Ringkas SMS yang mengajak saya beserta rakan-rakan saya untuk mengikuti satu demo aman di pejabat tabung haji bagi membantah kekejaman kerajaan Syria. Saya meminta izin dari bapa saya untuk menyertai namun 1 soalan yang tidak mampu saya jawab telah diajukan.

"Along nak pergi berdemo tetapi along tahu tak apa sebenarnya yang berlaku di Syria? Adakah cukup dengan berdemo, along menunjukkan bahawa along prihatin? Nak pergi berdemo untuk seronok atau untuk tnjuk keprihatinan along. Cuba jawab dulu apa yang berlaku di Syria."

Terkedu saya. Ya Allah..adakah aku benar-benar prihatin sedangkan soalan yang begitu mudah pon belum mampu dijawab. Jadi setelah mencari dan mencari, saya mengambil keputusan untuk berkongsi maklumat mengenai kebangkitan dan revolusi Syria. 

============================================================================

“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”
(Al-Isra' : 8)

Sejarah telah merakamkan bahawa selepas merdeka dari penjajahan Perancis pada 1945, Syria telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun. Kemudian pemerintahan diserahkan kepada ananya Basyar Al-Assad yang telah memerintah selama 11 tahun sekaligus menjadikan Syria sebagai negara yang diperintah oleh diktator.

Hafez Al-Asad adalah seorang penganut Syiah Nusairiyah yang amat membenci Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). (Syiah amat membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w). Syria didiami oleh 6% penganut Syiah Alawiyah, 10% penganut agama Kristian dan 84% adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Berikutan itu, satu konflik berdarah selama 27 hari telah berlaku di Hama pada tahun 1982 yang telah mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang berpegang pada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tindakan ini mendapat sokongan padu oleh kerajaan Iran yang mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.

PUNCA KEBANGKITAN REVOLUSI SYRIA

Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu TELAH ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia. Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara telah mengatakan kepada mereka:

"Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.” 

BENTUK KEZALIMAN YANG BERLAKU SEPANJANG TEMPOH SAURAH. 
  1. Dalam masa 42 hari telah terbunuh Syahid seramai 4000 orang rakyat Syria.
  2. 39000 orang telah cedera, mereka tak dirawat dan dibiarkan sahaja.
  3. Satu peristiwa di mana seramai 19 orang doktor di hospital dan 40 orang pesakit di hospital tersebut dibunuh tentera Assad di wilayah Doma.
  4. Ribuan tahanan ditahan.
  5. Ratusan orang telah syahid di dalam penjara.
  6. Wanita2 diculik dan dibawa ke tempat yang tak diketahui. Wanita ini telah dirogol di hadapan abang2, ayah, anak2, dan ahli keluarga mereka. Sebelum dirogol, mereka digari terlebih dahulu.
  7. Seorang ukhti bernama Zainab Al-Husni dari Hims, di Madinah Khalid bin Al-Walid. Beliau telah ditangkap dan mahu diperkosa oleh tentera yang menangkapnya. Tetapi beliau melawan. Lantas beliau dibunuh dan telah dipotong 4 KERAT.. Anggota badan yang dikerat itu dimasukkan ke dalam plastik, lalu dicampakkan ke hadapan keluarga beliau.
  8. Mengucapkan takbir merupakan sesuatu yang tidak disukai.
  9. Memaksa untuk mengucapkan Laa Ilaha Illah Basyar Asad.
  10. Basyar Assad juga daripada kelompok Syiah yang terkeluar daripada Islam dan mengharuskan untuk membunuh Muslimin Sunni..84% daripada posisi kepimpinan Rejim Basyar Assad dipegang oleh kaum keluarga mereka yang terdiri daripada 3 keluarga besar, 6% daripada posisi tersebut pula daripada kaum Ajam dan 10% lagi daripada golongan Kuffar.. Tiada posisi bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah..Kezalimannya terhadap wanita dan kanak2 juga terlalu dahsyat melebihi Israel..rakyat2 Sunni dibunuh sesuka hati tetapi walau seorang Israel pun tidak ditumpahkan darah..hasbunallahu wa neemal wakeel..
FATWA ULAMA TENTANG SAURAH DI SYRIA

Rabitah Ulama Syria yang diasaskan oleh Dr Ali As-Sobuni dan Rabithah Ulama Sedunia telah berfatwa kepada rakyat Syria agar mempertahankan rumah mereka daripada keganasan tentera walaupun dengan menggunakan pisau dengan berdalilkan hadis berikut:
"Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid. Barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid, atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid"
-hadith ini dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya (2/275) An-Nasaie dan Tirmidzi dan disahihkan oleh Imam Al-Albaniy dan Ahmad (1652 dan 1653) dari jalan Said Bin Zaid dan sanadnya Shahih

BERITA BAIK 
  1. Masa depan kebangkitan ini begitu baik. ia berterusan dan semakin kukuh. Lebih 30000 tentera yang terdiri dari pegawai telah bersama rakyat. Mereka ini telah melindungi orang2 yang turun berdemo kerana tidak tahan melihat kekejaman rejim Basyar Assad ini yang sesuka hati membunuh rakyatnya sendiri. 
  2. Pertubuhan2 Arab (Liga Arab) telah mengambil pendirian tentang apa yang telah Syria lakukan terhadap rakyatnya. Mereka tidak membenarkan pegawai2 Syria memasuki tanah mereka. tetapi ada dua negara yang tidak berpendirian sedemikian iaitu Iraq dan Lubnan. Iraq tidak berpendirian sedemikian kerana pemimpin Syria merupakan orang Syiah dan mereka selalu meminta pertolongan dari Iraq kerana Iraq merupakan negara Syiah.
  3. Syeikh Yussuf Al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang terbunuh dalam keadaan yang sebegini adalah seorang yang SYAHID !
  4. 95% ulama Syria telah bersama dalam kebangkitan rakyat ini. 
  5. 19% negara-negara Arab telah mewajibkan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria. 

KENAPAKAH KITA KURANG MENGETAHUI DENGAN JELAS ISU SYRIA

Kita banyak tidak tahu tentang Isu Syria selama ini kerana pihak media telah dikawal oleh pihak rejim Basyar Assad. Manakala sumber media lain tidak dibenarkan memasuki Syria untuk membuat liputan. Segala gambar dan video yang menjadi bahan bukti adalah hasil rakaman daripada para pendemonstrasi yang bertekad untuk merakam sendiri kezaliman tersebut dan kebanyakan daripada mereka telah menemui syahid.
"Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”


Wednesday 14 March 2012

Wordless Wednesday #1




Monday 12 March 2012

Anda seorang pemimpin?

Assalamu'alaikum..


"Cikgu, kenapa kita tak ada sebarang pengisian agama (rohani) langsung?"

"Sebab kem kita ini kem kounseling kepimpinan, bukan kem ibadah"

"Kalau ye pon, kan ada juga penerapan Islam melalui kounseling"

"...(cikgu terdiam)"

Begitulah antara sebahagian daripada perbualan di antara saya dan Kem Komander. Buat pengetahuan rakan pembaca, Alhamdulillah saya telah mewakili institusi pengajian saya ke KURSUS KEPIMPINAN PEMIMPIN PELAJAR PERINGKAT KEBANGSAAN anjuran Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA) yang telah diadakan pada 9, 10 dan 11 Mac yang lalu sebagai President Students' Representative Council. Tema kursus tersebut adalah counseling through adventure. Alhamdulillah modul yang disediakan sangat menarik dan sangat bagus ! Namun, saya agak terkilan kerana tiada langsung pendekatan dan kesedaran terhadap agama yang diterapkan di dalam kem tersebut.

Anda bayangkan, tiada waktu yang diperuntukkan untuk solat berjemaah dan untuk tazkirah. Maka atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Islam, maka saya dan sahabat saya, telah berbincang dengan pihak penganjur untuk memasukkan waktu solat berjemaah sebagai salah satu dari tentatif dan aturcara program. Alhamdulillah cadangan kami diterima baik. Manakala pada keesokan harinya, di atas inisiatif sendiri, selepas selesai mengimami solat Subuh, saya terus menyampaikan tazkirah Subuh selama 5-10 minit. Tiada kata-kata dan bantahan yang dapat diluahkan dari pihak penganjur walaupon kelihatannya seperti mereka membantah.

==============================================================================

Saya mula terfikir, kem dianjurkan untuk melatih kepimpinan pelajar. Yang datang bukanlah calang-calang orang. Mereka adalah ahli MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) & PEMBIMBING RAKAN SEBAYA (PRS) ! Seorang leader sepatutnya mempunyai Islam di dalam hati dan kehidupan mereka. Malangnya pemimpin yang datang rata-rata sekadar mempunyai kemahiran memimpin yang baik, tetapi tiada agama di dalam kehidupan mereka. Rambut berkarat, baju ketat dan sebagainya !

Bagaimana mungkin seorang pemimpin mempunyai sikap sebegini? Beginikah pemimpin yang telah Islam ajarkan. Seorang pemimpin yang baik sepatutnya mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka, menjadikan Allah sebagai matlamat, Islam sebagai penunjuk arah, Rasulullah S.A.W. sebagai teladan, Al-Quran sebagai panduan dan Syurga sebagai tujuan mereka.

Selama 3 hari 2 malam di sana, saya telah berusaha untuk berkongsi indahnya memimpin mengikut acuan Islam. Alhamdulillah, sedikit kesedaran kelihatan pada beberapa rakan-rakan MPP yang lain. Semoga Allah terus menyedarkan mereka. Sesungguhnya, saya amat sayangkan mereka sebagai rakan-rakan saya meskipun baru 3 hari menaut ukhwah. 

"Ya Allah, berikanlah kesedaran kepada mereka. Jadikanlah mereka sebagai seorang pemimpin yang meletakkan diri-Mu di dalam setiap perbuatan dan pimpinan mereka. Pancarkanlah cahaya Islam melalui kepimpinan mereka. Dan jadikanlah kepimpinan mereka sebagai pemangkin untuk orang lain mendekati diri-Mu. Ya Allah, hanya Engkau yang dapat memakbulkan doaku ini. Aminn Ya Rabbal'alamin.."


Monday 5 March 2012

Ilmu itu ibadah kan ?

Assalamu'alaikum..

Teringat kisah semalam. Saya duduk melayan karenah adik kecil saya menyiapakan latihan Matematiknya. Sangat kelakar gelagatnya. Baru belajar di tahun dua, sudah sibuk mengulangkaji. Terdetik di dalam hati akan musim peperiksaan yang bakal menjelma.

"Bagaimanakah persiapan aku? Sudah bersediakah? Boleh dapat 4.0 flat kah?" 

Bermacam-macam soalan menerpa. Tiba-tiba saya teringat pada seorang sahabat yang amat saya kagumi. Lantas saya mengirim satu soalan melalui khidmat sistem pesanan ringkas SMS kepadanya bertanyakan persiapan peperiksaanya berserta sedikit semangat dan harapan. 

Selepas lima minit, lamunan saya terganggu dengan bunyi telefon bimbit yang menandakan bahawa satu SMS diterima.

"Boleh ke dapat 4.0 tu. Kalau dapat, itu keajaiban Allah. Yela..Izzuddin Rosman kan memang pandai.."

Terkedu saya. Saya tahu sahabat saya ini merupakan seorang yang bijak. Malah pernah mendapat anugerah dekan! Lantas saya mengirimkan satu lagi khidmat sistem pesanan ringkas SMS memberi kata-kata semangat kepada beliau. 

"Jangan sesekali berputus asa. Ini kan final sem awak..Teruskan berusaha..biar letih yang teramat sangat pon tak pe..hanya tinggal sebulan lagi untuk awak grad..kenapa perlu menyerah? Usaha sehabis baik, iringi dengan doa dan tawakkal..Natijahnya biar Allah yang tentukan..Ilmu itu kan milik Allah..teruskan berusaha dan berdoa..jangan sesekali putus asa dengan rahmat Allah"
 

==============================================================================

Sahabat-sahabat pembaca sekalian, kita sebagai seorang remaja dan juga pelajar kerapkali berasa down, malas untuk belajar dan bermacam-macam lagi. Lantas, kita mencipta pelbagai alasan untuk memaksa diri kita untuk belajar. Belajar untuk ibu bapa, belajar untuk dapat pointer 4.0, belajar untuk anugerah dekan dan pelbagai lagi. Namun masih tidak berhasil. 

Kenapa kita tidak pernah terfikir belajar adalah ibadah? Bukankah setiap ibadah dilakukan hanya untuk meraih redha Allah? Jadi kenapa perlu bertangguh? "Refresh" semula minda kita. Untuk Allah, bermakna kita mempunyai satu sebab yang amat kuat untuk terus menuntut ilmu. Bukankah Allah mengangkat darjat orang-orang yang berilmu?

"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Surah Al-Mujaadalah [58] : 11

Subhanallah..Betapa besarnya rahmat Allah untuk orang yang berilmu. Seandainya kita semua betul-betul cintakan Allah dan terlalu inginkan sentiasa berada dekat dgn Allah, sudah tentu kita tidak akan memberi 1001 alasan dalam menuntut ilmu bukan?

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian, untuk melakukan amalan perbuatan yang baik, pasti akan ditaburi dengan pelbagai onak duri, hasutan dari syaitan dan juga dari hawa nafsu. Namun bukankah Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Mengapa harus kalah pada hawa nafsu kita? 

"Saya tak pandai. Saya tahu sekuat mana saya belajar, saya tak akan mampu untuk meraih 'dean list' macam awak"

Sahabat-sahabat sekalian, siapakah kita untuk mengatakan ciptaan Allah ini tidak pandai? Bagi saya semua manusia dilahirkan dalam keadaan bijak dan pandai. Hanya tinggal pada kita untuk mencorakkan arah tujuan kita. Jika kita pandai 'bercouple', pandai membuat maksiat dan sebagainya, mengapakah kita tidak andai untuk belajar? Semuanya terletak pada diri kita. Tepuk dada, tanya iman. 


Sahabat-sahabat sekalian, andaikata anda ingin mendapatkan sesuatu barang, tentulah anda perlu minta izin dari tuannya dahulu kan ? Begitu juga dengan ilmu. Ilmu merupakan hak Allah. Andaikata anda mahukan ilmu, mintalah pada Allah. Bagi saya, Allah tidak memberikan kejayaan kepada seseorang dengan menilai kepada kepandaiannya. Tetapi Allah menilai kepada usaha yang ada pada hamba-hamba NYA. Sekiranya ada ilmu yang banyak tetapi tidak mengaplikasikannya, maka tiada gunanya. Tetapi sekiranya kita sentiasa berusaha untuk mencari ilmu, InsyaAllah pasti akan dipermudahkan urusan tersebut. 

"Barangsiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan permudahkan baginya jalan menuju ke syurga"
(HR Muslim)

Ini merupakan sebahagian dari perkongsian dan nasihat saya buat sahabat yang disayangi itu. Sama-sama kita berdoa semoga Allah memudahkan urusan beliau dan memberikan kejayaan yang cemerlang untuk beliau. Selamat menjalani peperiksaan semester akhir di International Islamic College ini. Semoga hasratmu untuk menyambung pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Qur'an dan Hadith di Universiti Sains Islam Malaysia tercapai. Amin...
Akhirnya satu SMS terakhir diterima..

"Ya Allah..Malu..Bezanya mentaliti kita..teruskan mencipta kejayaan..Allah pasti memudahkan jalan untuk kita semua dalam mencari ilmu NYA..usaha amat penting..syukran sangat-sangat"
 
 

Saturday 18 February 2012

1 Hari 1 Hadis - Ganjaran orang yang soleh

Assalamu'alaikum..

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ وَلاَ أُذُنٌ سَمِعْتَ وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Allah 'Azzawajalla berfirman: 'Aku sediakan untuk hamba-Ku yang soleh sesuatu yag tidak pernah didengar dengan telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia"
(HR Bukhari & Muslim)

Thursday 16 February 2012

1 Hari 1 Hadis - Penilaian Allah terhadap hamba-hamba Nya

Assalamu'alaikum..
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهَ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَادِ كُمْ وَلَا إِلَى صُوَرِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu"
(HR Muslim)

Tuesday 14 February 2012

1 Hari 1 Hadis - Jalan syurga dan neraka

Assalamu'alaikum..

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: حُفَّتْ الْجَنَّةُ بِالْمًكًارِهِ، وَحُفَّتْ النَّارُ بِا لشَّهَوَاتِ

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat."
(HR Bukhari & Muslim)

Saturday 11 February 2012

Cinta Kepada "Lelaki Ghaib" Itu

Assalamu'alaikum..
Bagaimana hendak mencintai seorang manusia yang kita tidak pernah jumpa? Tidak pernah bertentang mata.
Tidak pernah melihat wajah dan susuk tubuhnya. Soalan itu menerjah fikiran kita hari ini, tatkala diajak mengasihi seorang lelaki Arab bernama

‘Muhammad bin Abdullah’.

Apatah lagi yang diajak itu adalah anak-anak. Mungkinkah mereka jatuh cinta dengan ‘lelaki itu’?
Lelaki yang tidak pernah ditemui. Tidak pernah dikenali. Namun mencintai seorang secara ghaib bukan sesuatu yang mustahil. Lihat geng-geng rambut pacak itu. Mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Cuba tanya siapa pelopor rambut pacak itu, di mana kampungnya, apa makanan kegemarannya, siapa isterinya, apa nama anak-anaknya dan mengapa nama mereka begitu, dia bermain bola dengan kelab mana, pasti rambut pacak itu mudah disusuli dengan jawapan lengkap pada soalan-soalan itu tadi.

Tetapi pernahkah mereka bertemu dengan David Beckham?

Bertuturkah mereka dengan bahasa Beckham?

Pernah ke Manchester?

Pernah ke Madrid?

Pernah ke Los Angeles?

Majoritinya hanya menggelengkan kepala. Tetapi mereka sangat memuja lelaki itu. Baik lelaki, mahu pun perempuan. Mereka tidak pernah bertemu dengannya, tetapi ‘amat menyintainya’.

Kredit Ilustrasi whateverattack.deviantart.com
Tanyalah budak muda rambut lebat sikat ke depan, kurus kering mendedah tulang rusuk dengan gaya seksi seperti K-Pop yang dipaksa menjadi M-Pop, mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Pernahkah mereka ke bumi Sonata? Bertuturkah mereka dengan bahasa Korea? Pasti sahaja genre yang dipaparkan itu lengkap dengan info sirah kehidupan Kim Jaejoong dan Jung Ji-Hoon.

Generasi muda kita memang ramai yang sedang bercinta dengan cinta yang ghaib. Menyintai seorang yang tidak pernah ditemui. Keupayaan cinta yang sepatutnya membolehkan mereka mencinta lelaki ghaib paling hebat, Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

SEPERTI AL-QURAN

Ali bin Hussein bin Ali radhiyallahu ‘anhum pernah berkata, “Kami diajari dengan Seerah sebagaimana kami diajari dengan al-Quran” Seorang cicit juga sudah masuk ke cabaran itu. Mencintai moyangnya, seorang Rasul yang mulia, lelaki ‘ghaib’ yang tidak pernah ditemuinya. Namun cintanya kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang hasil pendidikan. Beliau didedah, diajar, dibentuk dan membesar dengan mempelajari Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, seperti mana dampingannya dengan al-Quran itu sendiri.

Apakah yang menemani anak-anak kita?

Cukupkah beberapa minit di sekolah mereka didedahkan kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam?
Sesungguhnya anak-anak kita mampu mengasihi ‘lelaki ghaib yang tidak pernah ditemui itu’.
Asalkan mereka dididik mengenalinya oleh kita yang terlebih dahulu perlu bertanya, “cintakah aku kepada lelaki ghaib itu?”

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” 
(Al-Ahzaab 33: 56)


DICOPY DARI Saiful Islam.com