Assalamu'alaikum..
Teringat kisah semalam. Saya duduk melayan karenah adik kecil saya menyiapakan latihan Matematiknya. Sangat kelakar gelagatnya. Baru belajar di tahun dua, sudah sibuk mengulangkaji. Terdetik di dalam hati akan musim peperiksaan yang bakal menjelma.
"Bagaimanakah persiapan aku? Sudah bersediakah? Boleh dapat 4.0 flat kah?"
Bermacam-macam soalan menerpa. Tiba-tiba saya teringat pada seorang sahabat yang amat saya kagumi. Lantas saya mengirim satu soalan melalui khidmat sistem pesanan ringkas SMS kepadanya bertanyakan persiapan peperiksaanya berserta sedikit semangat dan harapan.
Selepas lima minit, lamunan saya terganggu dengan bunyi telefon bimbit yang menandakan bahawa satu SMS diterima.
"Boleh ke dapat 4.0 tu. Kalau dapat, itu keajaiban Allah. Yela..Izzuddin Rosman kan memang pandai.."
Terkedu saya. Saya tahu sahabat saya ini merupakan seorang yang bijak. Malah pernah mendapat anugerah dekan! Lantas saya mengirimkan satu lagi khidmat sistem pesanan ringkas SMS memberi kata-kata semangat kepada beliau.
"Jangan sesekali berputus asa. Ini kan final sem awak..Teruskan berusaha..biar letih yang teramat sangat pon tak pe..hanya tinggal sebulan lagi untuk awak grad..kenapa perlu menyerah? Usaha sehabis baik, iringi dengan doa dan tawakkal..Natijahnya biar Allah yang tentukan..Ilmu itu kan milik Allah..teruskan berusaha dan berdoa..jangan sesekali putus asa dengan rahmat Allah"
==============================================================================
Sahabat-sahabat pembaca sekalian, kita sebagai seorang remaja dan juga pelajar kerapkali berasa down, malas untuk belajar dan bermacam-macam lagi. Lantas, kita mencipta pelbagai alasan untuk memaksa diri kita untuk belajar. Belajar untuk ibu bapa, belajar untuk dapat pointer 4.0, belajar untuk anugerah dekan dan pelbagai lagi. Namun masih tidak berhasil.
Kenapa kita tidak pernah terfikir belajar adalah ibadah? Bukankah setiap ibadah dilakukan hanya untuk meraih redha Allah? Jadi kenapa perlu bertangguh? "Refresh" semula minda kita. Untuk Allah, bermakna kita mempunyai satu sebab yang amat kuat untuk terus menuntut ilmu. Bukankah Allah mengangkat darjat orang-orang yang berilmu?
"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Surah Al-Mujaadalah [58] : 11
Subhanallah..Betapa besarnya rahmat Allah untuk orang yang berilmu. Seandainya kita semua betul-betul cintakan Allah dan terlalu inginkan sentiasa berada dekat dgn Allah, sudah tentu kita tidak akan memberi 1001 alasan dalam menuntut ilmu bukan?
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian, untuk melakukan amalan perbuatan yang baik, pasti akan ditaburi dengan pelbagai onak duri, hasutan dari syaitan dan juga dari hawa nafsu. Namun bukankah Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Mengapa harus kalah pada hawa nafsu kita?
"Saya tak pandai. Saya tahu sekuat mana saya belajar, saya tak akan mampu untuk meraih 'dean list' macam awak"
Sahabat-sahabat sekalian, siapakah kita untuk mengatakan ciptaan Allah ini tidak pandai? Bagi saya semua manusia dilahirkan dalam keadaan bijak dan pandai. Hanya tinggal pada kita untuk mencorakkan arah tujuan kita. Jika kita pandai 'bercouple', pandai membuat maksiat dan sebagainya, mengapakah kita tidak andai untuk belajar? Semuanya terletak pada diri kita. Tepuk dada, tanya iman.
Sahabat-sahabat sekalian, andaikata anda ingin mendapatkan sesuatu barang, tentulah anda perlu minta izin dari tuannya dahulu kan ? Begitu juga dengan ilmu. Ilmu merupakan hak Allah. Andaikata anda mahukan ilmu, mintalah pada Allah. Bagi saya, Allah tidak memberikan kejayaan kepada seseorang dengan menilai kepada kepandaiannya. Tetapi Allah menilai kepada usaha yang ada pada hamba-hamba NYA. Sekiranya ada ilmu yang banyak tetapi tidak mengaplikasikannya, maka tiada gunanya. Tetapi sekiranya kita sentiasa berusaha untuk mencari ilmu, InsyaAllah pasti akan dipermudahkan urusan tersebut.
"Barangsiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan permudahkan baginya jalan menuju ke syurga"
(HR Muslim)
Ini merupakan sebahagian dari perkongsian dan nasihat saya buat sahabat yang disayangi itu. Sama-sama kita berdoa semoga Allah memudahkan urusan beliau dan memberikan kejayaan yang cemerlang untuk beliau. Selamat menjalani peperiksaan semester akhir di International Islamic College ini. Semoga hasratmu untuk menyambung pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Qur'an dan Hadith di Universiti Sains Islam Malaysia tercapai. Amin...
Akhirnya satu SMS terakhir diterima..
"Ya Allah..Malu..Bezanya mentaliti kita..teruskan mencipta kejayaan..Allah pasti memudahkan jalan untuk kita semua dalam mencari ilmu NYA..usaha amat penting..syukran sangat-sangat"
0 comments:
Post a Comment